Dalam mazhab Syafie mengatakan batal bersentuhan suami dan isteri kerana mereka bukan mahram walaupun tanpa syahwat. Dalilnya ada di dalam Al-Quran :
وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ
".. Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu."
[Al-Maidah :6]
Imam Syafie berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ ialah bersentuhan kulit dengan kulit walaupun tanpa syahwat. Hal ini selari dengan pendapat sahabat Abdullah Bin Umar, Abdullah Bin Mas'ud dan lain-lain. Diriwayatkan dari Abdullah Bin Umar beliau berkata :
قُبْلَةُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ وَجَسُّهَا بِيَدِهِ مِنْ الْمُلَامَسَةِ فَمَنْ قَبَّلَ امْرَأَتَهُ أَوْ جَسَّهَا بِيَدِهِ فَعَلَيْهِ الْوُضُوءُ
“Ciuman dan rabaan tangan lelaki pada isterinya termasuk mulamasah. Barangsiapa yang mencium isterinya atau merabanya, wajib baginya berwudhu.” (HR. Imam Malik dalam Al-Muwatha’, dengan sanad sahih). Pendapat inilah yang lebih berhati-hati kerana dilihat dari segi zahir ayat Al-Quran iaitu menyentuh perempuan bukan mahram membatalkan wuduk. Inilah pendapat mu'tamad dalam mazhab Syafie yang boleh dibaca dalam kitab-kitab mazhab Syafie.
Adapun hadith berkenaan Sayidatina Aisyah menyentuh perut dua kaki baginda telah dibahas oleh para ulama. Imam Abu Hanifah dan yang lain berpendapat tidak batal dengan melihat kepada hadith ini. Sedangkan Imam Syafie, Imam Maliki, Imam Ahmad dan kebanyakan ulama berpendapat batal dan mereka berbeza pendapat dalam memperincikan hal tersebut. Menurut pendapat Imam Syafie dan selainnya orang yang disentuh tidak batal wuduk. Manakala pendapat paling unggul dari kalangan ashab Syafie mengatakan sentuhan Aisyah tersebut di atas penghalang maka tidak batal. Demikian keterangan dari Imam Nawawi dalam Syarah Muslimnya. Bahkan menurut Imam Nawawi jumhur ulama berpendapat sentuhan suami isteri membatalkan wuduk. Oleh itu dakwaan jumhur oleh Dr Rozaimi menyalahi dakwaan jumhur oleh Imam Nawawi. Saya lebih cenderung memilih dakwaan jumhur Imam Nawawi disebabkan beliau termasuk ulama muhaqiqin. Boleh baca rujukan di bawah :
استدل به من يقول لمس المرأة لا ينقض الوضوء وهو مذهب أبي حنيفة رضى الله عنه وآخرين وقال مالك والشافعي وأحمد رحمهم الله تعالى والأكثرون : ينقض واختلفوا في تفصيل ذلك وأجيب عن هذا الحديث بأن الملموس لا ينتقض على قول الشافعي رحمه الله تعالى وغيره وعلى قول من قال ينتقض وهو الراجح عند أصحابنا يحمل هذا اللمس على أنه كان فوق حائل فلا يضر
[Syarah Muslim : 3/273]
استدل به من يقول : لمس النساء لا ينقض الوضوء والجمهور على أنه ينقض
[Syarah Muslim :3/307]
3. Tidak boleh berpindah pendapat mazhab lain untuk tujuan mencari-cari kemudahan melainkan ada masyaqqah (kesusahan) dan keperluan mendesak. Perkara inilah yang telah ditetapkan oleh para ulama dalam mazhab Syafie. Imam Zainuddin Al-Malibari berkata :
ثُمَّ لَهُ وَإِنْ عَمِلَ بِالْأَوَّلِ الْإِنْتِقَالُ إِلَى غَيْرِهِ بِالْكُلْيَّةِ ، أَوْ فِي الْمَسَائِلِ بِشَرْطِ أَنْ لَا يَتَتبع َ الرخص ، بِأَنْ يَأْخُذَ مِنْ كُلِّ مَذْهَبِ بِالْأَسْهَلِ مِنْهُ ، فَيَفْسُقُ بِهِ عَلَى الْأَوْجَهِ
"Kemudian boleh baginya (muqallid) jika beramal dengan pendapat yang pertama (wajib sepakat dengan mazhab imamnya) untuk berpindah ke mazhab yang lain secara menyeluruh (seperti dari mazhab Syafie pindah ke mazhab Hanafi), ataupun(berpindah) dalam beberapa masalah dengan syarat tidak mencari-cari keringanan. Seperti mengambil dari setiap mazhab pendapat yang paling mudah maka ia menjadi fasiq dengan sebabnya."
[Fath Al-Muin : 614]
Jika seseorang ingin mengikuti pendapat seorang imam mazhab dalam satu masalah maka hendaklah dia mengamalkan satu qadhiyah mazhab dalam masalah tersebut. Misalkan seseorang yang ingin bertaqlid mazhab Hanafi dalam masalah solat menghadap jihah (arah) kiblat (manakala dalam mazhab Syafie wajib solat menghadap ain kiblat, bukan jihah) maka dia wajib mengamalkan wuduk dan solat mengikut mazhab Hanafi. Maka ketika berwuduk wajib menyapu kepala seukuran ubun-ubun kepala, tidak mengalir darah dari badannya setelah berwuduk dan sebagainya. Demikianlah fatwa Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dan disepakati oleh para ulama muhaqqiqin seperti Imam Ibnu Daqiq Al-Aid, Imam Subki, Imam Isnawi, Imam Iraqi, Imam Rafie, Qadhi Husain dan lain-lain.
[Rujuk Fath Al-Muin : 614]
Tujuan syarat ini ditetapkan kerana untuk mengelak seseorang itu melakukan 'talfiq' yang dilarang oleh para ulama. Seperti contoh bertaqlid Imam Syafie dalam menyapu sebahagian kepala dan Imam Malik dalam sucinya anjing dalam satu solat maka taqlid demikian tidak sah. Kerana ia merupakan talfiq (penggabungan) di antara dua pendapat yang muncul satu hakikat darinya iaitu solat yang mana kedua-dua imam (Imam Syafie dan Imam Malik) berpendapat tidak sah solat tersebut. (Imam Malik berpendapat tidak sah wuduk dengan menyapu sebahagian kepala manakala Imam Syafie berpendapat najisnya anjing)
[Rujuk I'anah At-Thalibin : 4/250]
Sayangnya perkara ini yang tidak menjadi perhatian orang awam semasa bertaqlid pendapat mazhab yang lain. Mereka justeru melakukan talfiq ketika berpindah pendapat yang mengatakan tidak batal sentuhan suami dan isteri. Apabila mereka berwuduk dengan bertaqlid mazhab Syafie iaitu menyapu sebahagian kepala dan menyentuh isteri/suami tanpa syahwat dengan bertaqlid mazhab Maliki maka solatnya batal menurut pendapat kedua-dua imam tersebut. Kerana menurut Imam Syafie menyentuh suami/isteri batal wuduk manakala menurut Imam Malik menyapu sebahagian kepala tidak mencukupi dalam wuduk. Oleh itu seseorang yang ingin bertaqlid Imam Malik dalam hal tidak batal menyentuh suami isteri hendaklah mengamalkan satu qadhiyah dalam hal wuduk dan solat dalam mazhab Maliki. Dan hal ini tidak mudah bagi orang awam di Malaysia untuk mempelajari mazhab selain mazhab Syafie.
KESIMPULAN
Di dalam enakmen fatwa Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan lain-lain telah menetapkan bahawa setiap fatwa hendaklah diikuti oleh tiap-tiap orang yang berada di negeri masing-masing. Dan mazhab orang awam ialah mengikuti mazhab mufti di negerinya sendiri. Menyalahi fatwa dianggap berdosa kerana tidak taat kepada ulil amri. Apalagi keputusan hakim ialah bertujuan menghilangkan khilaf. Dalam kaedah fiqh disebut :
حكم الحاكم يرفع الخلاف
"Keputusan hakim mengangkat segala khilaf. "
Mazhab yang disusun oleh para imam dan para ashabnya bertujuan memudahkan pengikutnya untuk mengamalkan agama. Akan tetapi bukanlah menjadi tiket kepada kita untuk mencari keringanan dan bermudah-mudah dalam amal agama. Oleh itu saudara dan saudari, janganlah ragu-ragu dalam mengikuti mazhab Imam Syafie dan para ashabnya. Amalkan dengan penuh yakin kerana meniti jalan mereka bermaksud kita meniti jalan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam dan sahabat.
Wallahu A'lam.
Al-Faqir
Mohamed Arafat At-Tambary
Tidak ada komentar:
Posting Komentar